Covid-19 Sabah: Dua lagi kluster baharu dilapor hari ini

Covid-19 Sabah: Dua lagi kluster baharu dilapor hari ini

Kota Kinabalu: Dua lagi kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, masing-masing berkaitan institusi pendidikan dan tempat kerja yang diisytiharkan di daerah Kota Belud dan Papar.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Batu 24 Nabalu yang berkaitan institusi pendidikan di Kota Belud menjangkiti seramai 22 orang setakat ini termasuk lima kes hari ini.

Katanya, kluster berkenaan membabitkan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas serta ahli keluarga mereka yang tinggal di tempat lain termasuk di Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Kes indeks adalah seorang wanita dan ibu saudara kepada seorang murid yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan RT-PCR sebelum menjalani rawatan.

“Saringan kontak rapat kemudiannya dilakukan dan mendapati tiga murid SK Dallas positif Covid-19. Saringan selanjutnya dibuat ke atas guru dan rakan sekelas murid terbabit serta mendapati lebih ramai yang dijangkiti, iaitu setakat ini 22 orang,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi berkata, kluster kedua hari ini yang berkaitan tempat kerja diisytiharkan di Papar tetapi turut membabitkan individu yang tinggal di Tuaran dan Penampang.

Katanya, kes indeks Kluster Persiaran Palma itu yang berumur 38 tahun bekerja di Bahagian Pentadbiran Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, Papar mula bergejala pada 22 Januari lalu sebelum menjalani saringan kendiri dan kemudian disahkan positif di Pejabat Kesihatan Papar.

“Saringan terhadap rakan sekerja dan ahli keluarga sudah dijalankan dan setakat ini jumlah kumulatif pesakit bagi kluster ini ialah 24 orang termasuk enam kes baharu.

“Punca jangkitan kemungkinan besar berlaku ketika majlis hari jadi seorang kakitangan di pejabat pada 17 Januari lalu,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya jumlah kes di Sabah hari ini terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan 16 kes lagi berbanding semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 358 kes.

Katanya, sebanyak lapan daripada 11 daerah yang mencatat kes dua angka merekodkan kes baharu yang agak tinggi iaitu Kota Kinabalu (66 kes), Sandakan (41 kes), Tuaran (39 kes), Penampang (32 kes), Beaufort (27 kes), Tawau (24 kes), Papar (22 kes) dan Putatan (20 kes).

“Hari ini juga menyaksikan masing-masing lapan daerah mencatat kes satu angka dan tiada kes baharu. Daerah Nabawan menjadi satu-satunya daerah yang berjaya mencapai sifar kes selama 14 hari berturut-turut,” katanya.

Statistik Covid-19 mengikut daerah:

Covid Update 28 Januari 2022
Sabah 358 (342)

Kota Kinabalu 66 (60)
Sandakan 41 (40)
Tuaran 39 (33)
Penampang 32 (19)
Beaufort 27 (34)
Tawau 24 (19)
Papar 22 (18)
Putatan 20 (24)
Kota Marudu 19 (34)
Kota Belud 17 (6)
Ranau 13 (10)
Tambunan 8 (2)
Kinabatangan 7 (3)
Lahad Datu 6 (8)
Kudat 6 (2)
Kunak 4 (4)
Keningau 3 (13)
Semporna 2 (0)
Telupid 2 (0)
Kuala Penyu 0 (0)
Beluran 0 (2)
Nabawan 0 (0)
Sipitang 0 (7)
Pitas 0 (0)
Tenom 0 (3)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 27 Januari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Persiaran Palma,
    (Papar,Penampang,Tuaran)
    25 (+6)
    (Kluster Tempat Kerja)
  2. Kluster Batu 24 Nabalu,
    (Kota Belud,Tuaran ,
    Kota Kinabalu ) 22(+5)
    (Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|