Pembinaan SMK Nabalu diteruskan dalam pusingan ketiga RMK-12

Pembinaan SMK Nabalu diteruskan dalam pusingan ketiga RMK-12

Tuaran: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu yang tergendala sejak sekian lama dijadual dilaksanakan semula dalam pusingan ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata pihak kementerian mengambil berat kelewatan pembinaan sekolah itu selepas tapak asal didapati tidak selamat.

Mohamad meninjau tapak baharu SMK Nabalu di Kampung Giok, Kiulu.

“Kita berharp semua perancangan yang dibuat, termasuk untuk SMK Nabalu akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Saya tertarik untuk meninjau sekolah di daerah Tuaran, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

“Saya juga berharap dapat melakukan lebih banyak lawatan untuk memahami situasi yang dihadapi rakyat,” katanya ketika lawatan ke tapak baharu SMK Nabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Pkharaduddin Ghazali dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistrine Radin.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Mohamad berkata, pembinaan SMK Nabalu merangkumi 18 bilik darjah, sebuah asrama yang mampu menampung 200 penghuni dan 16 unit rumah guru.

Tapak baharu sekolah itu yang berkeluasan 25.08 ekar bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Giok di Kampung Giok, di sini.

Lokasi berkenaan disahkan selamat dan sesuai untuk pembinaan sekolah selepas penilaian dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains.

Pembinaan bangunan SMK Nabalu di tapak terdahulu berhampiran pekan Nabalu yang dilaksanakan bermula 2012 diarah dihentikan dua tahun kemudian selepas keadaan tanah didapati tidak selamat.

Sementara itu, Joniston berharap pembinaan sekolah itu dapat dipercepatkan bagi mengatasi masalah kesesakan pelajar baharu dan mengurangkan lebihan kapasiti di sekolah berhampiran.

“Kita (pemimpin di Kiulu dan Tuaran) sudah lama mendesak supaya sekolah ini dibina.

“Jika projek pembangunan ini dilaksanakan, ia sudah tentu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kanak-kanak luar bandar yang tinggal di kampung terpencil,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|