Covid-19 Sabah: Sekolah terbabit kluster diarah tutup serta-merta

Covid-19 Sabah: Sekolah terbabit kluster diarah tutup serta-merta

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini mengarahkan semua sekolah yang diisytihar sebagai kluster Covid-19 di seluruh negeri ditutup serta-merta.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata arahan itu diputuskan ketika mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah pada 26 Januari lalu.

Katanya, tempoh penutupan adalah selama dua hingga tiga minggu, tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah yang bermesyuarat pada 26 Januari 2022 memutuskan supaya pelaksanaan tindakan itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dan sudah disampaikan melalui surat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 27 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau bagaimanapun berkata, sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pelajar termasuk guru dan kakitangan insitusi pendidikan berkenaan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan yang meningkat sejak 1 Januari lalu.

Katanya, sejak tarikh itu sehingga 26 Januari, sebanyak enam kluster institusi pendidikan aktif di negeri ini di enam lokaliti di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membabitkan fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ini mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 26 Januari 2022 yang prihatin dengan laporan jangkitan Covid-19 yang berlaku di beberapa sekolah di negeri ini.

“Justeru, tindakan proaktif dan bersifat preventif perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung penularan Covid-19 di institusi pendidikan negeri Sabah,” katanya.

Katanya, sebanyak 10 kluster membabitkan institusi pendidikan di bawah seliaan KPM dilaporkan di Sabah setakat ini.

Hari ini saja satu kluster baharu dilapor membabitkan murid dan guru sekolah rendah serta ahli keluarga mereka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas, Kota Belud.

Laporan sebelum ini menyebut sembilan sekolah menengah dikenal pasti terbabit dalam kluster institusi pendidikan di Sabah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan; SMK Ranau; SMK Sandakan; SMK Kundasang; SMK Tun Fuad Stephen, Kiulu; SMK Balung, Tawau; SMK Keningau; SMK Terusan, Lahad Datu dan SMK Tandek 2, Kota Marudu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|