PPM tahan 2 bot nelayan Vietnam, rampasan bernilai RM2.8 juta

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan dua bot bersama 11 nelayan asing Vietnam kerana menceroboh perairan negara di kawasan utara laut Pulau Langkayan, di sini, semalam.

Semua mereka ditahan bersama peralatan menangkap gamat dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.8 juta.

Dua bot nelayan asing yang ditahan selepas menceroboh perairan negara di Sandakan. Pix Ihsan PPM Sabah 

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, bertindak atas maklumat risikan awam dan tindakan pantas Unit Risikan Marin PPM Sandakan merangka pengoperasian membanteras pencerobohan bot-bot asing di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil daripada operasi itu berjaya menahan dua bot nelayan milik warga Vietnam.

Juragan bersama 10 awak-awak warga Vietnam yang ditahan selepas menceroboh masuk perairan negara di Sandakan. Pix Ihsan PPM Sabah

“Kita telah menangkap seramai 11 individu terdiri daripada juragan dan awak-awak warga Vietnam berusia lingkungan 10 hingga 49 tahun.

“Pemeriksaan awal didapati semua suspek tidak mempunyai keterangan diri serta tiada kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti menangkap hidupan laut di perairan negara secara sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya turut merampas lapan set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat yang dicuri tersimpan dalam beberapa tong yang diperoleh secara haram.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,873,000 keseluruhannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah masuk ke negara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PPM Wilayah Empat Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket jenayah rentas sempadan dan tindakan secara proaktif serta agresif akan diambil bagi memerangi jenayah rentas sempadan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|