PM bertegas tidak campur tangan isu Azam Baki

PM bertegas tidak campur tangan isu Azam Baki

Kota Marudu: Kerajaan tidak campur tangan dalam kes yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau tidak akan campur tangan dalam kes berkenaan kerana ia bertentangan dengan tujuan penubuhan SPRM.

Katanya, sebagai sebuah badan bebas, SPRM perlu kekal tidak menerima campur tangan kerajaan, terutama yang membabitkan Perdana Menteri.

Beliau berkata, ketika masih Badan Pencegah Rasuah (BPR) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dahulu, ramai meminta ia dijadikan sebuah badan bebas supaya tiada campur tangan secara langsung daripada kerajaan.

“Sekarang mereka nak mereka saya campur tangan pula. Jadi saya harap kita konsisten dengan apa yang dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pakatan Harapan (PH) yang meminta supaya satu badan bebas menyiasat kes berkaitan pemilikan saham dalam
syarikat Bursa Malaysia oleh Azam selain menggesa beliau direhatkan.

Jelas Ismail Sabri, tindakan sewajarnya berhubung kes yang dikaitkan dengan Azam tetap dibuat mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh SPRM.

“Gambaran diberi seolah-oleh kerajaan berdiam diri. Itu salah kerana tindakan telah dilakukan mengikut tatacaranya sendiri selaku sebuah badan bebas. SPRM sendiri yang mengendalikan kes ada kaitan dengan mereka melalui siasatan dalaman Lembaga Penasihat SPRM.

“Suruhanjaya Sekuriti (EC) juga akan memanggil Azam untuk memberi penjelasan, jadi perkara ini sedang dilakukan pihak EC dan kita tunggu sajalah keputusan EC.

“Kalau ada siasatan lain seperti polis dan lain-lain, tunggu selesai siasatan (EC). Meletakkan Azam seolah-olah sudah bersalah tidak wajar bagi saya,” katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun memberi jaminan tidak akan berkompromi jika ada isu berkaitan salah laku terhadap sesiapa saja.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|