Mangsa banjir hargai bantuan kerajaan

Mangsa banjir hargai bantuan kerajaan

Kota Marudu: Inisiatif kerajaan dalam menghulurkan bantuan amat dihargai namun ia diharap diperluaskan kepada penyelesaian masalah banjir jangka masa panjang.

Harapan itu disuarakan beberapa penerima sumbangan yang ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan dan Bakul Makanan yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Komuniti Kota Marudu, hari ini.

Jeffemis Mosorod, 50

Salah seorang mangsa banjir, Amzah Abdul Rahim, 60, berkata, bantuan yang diberikan membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung akibat bencana banjir.

Katanya, mereka sekeluarga kini terpaksa menggantikan atau membaiki beberapa peralatan elektrik dan kelengkapan rumah yang rosak.

“Namun masalah banjir ini semakin kerap berlaku dan ia sudah pasti menyebabkan kesukaran kepada kami sekeluarga.

“Diharap akan ada tindakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan berlakunya bencana banjir setiap kali musim hujan,” katanya.

Amzah Abdul Rahim, 60

Seorang lagi penerima, Jeffemis Mosorod, 50, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan kepada keluarganya.

Katanya, walaupun sedih dengan kejadian ini namun bersyukur kerana semua ahli keluarga terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan ataupun perkara buruk lain.

“Sebelum keadaan banjir bertambah buruk, kami sekeluarga sempat menempatkan atau menyelamatkan beberapa barangan daripada rosak akibat banjir.

“Saya juga bersyukur kerana pemberian sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga yang menerimanya,” katanya.

Menurutnya, sebaiknya mereka berharap masalah ini dapat diselesaikan agar kejadian ini tidak berulang kembali.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|