PICKids di Sabah masih rendah, hanya 24 peratus terima vaksin

PICKids di Sabah masih rendah, hanya 24 peratus terima vaksin

Kota Kinabalu: Ibu bapa dinasihatkan supaya membawa anak-anak mereka yang berusia lima hingga 11 tahun ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berikutan kadar penerima vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Sabah masih rendah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setakat ini hanya 24 peratus daripada 411,400 kanak-kanak dalam kumpulan umur berkenaan yang sudah menerima vaksin menerusi PICKids.

“Setakat 8 April lalu bagi perkembangan PICKids untuk dos pertama ialah sebanyak 24.15 peratus manakala dos lengkap sebanyak 1.35 peratus.

“Berdasarkan pencapaian semasa yang masih lagi rendah, kita menasihatkan ibu bapa untuk memberi anak-anak mereka yang bersekolah iaitu berusia lima hingga 11 tahun mendapatkan vaksin di fasiliti kesihatan atau berhubung dengan pejabat-pejabat kesihatan daerah masing-masing bagi mendapatkan suntikan terbabit,” katanya ketika ditemui media, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini kanak-kanak menerima vaksin menerusi PICKids berikutan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung sesi persekolahan tanpa penggiliran bagi murid sekolah rendah akan bermula 17 April ini.

Shahelmey berkata, walaupun pihaknya tidak lagi menetapkan jumlah sasaran baharu untuk kanak-kanak yang divaksin namun usaha mengalakkan supaya ibu bapa membawa anak masing-masing diberikan vaksin terus dilaksanakan.

“Setakat ini kita tidak ada sasaran baharu tetapi yang penting kita minta ibu bapa sedar bahawa sekarang sekolah sudah dibuka sepenuhnya maka anak-anak perlu mendapatkan vaksin bagi memastikan kesihatan mereka terjamin,” katanya.

Shahelmey ditemui media ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Sementara itu, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang turut hadir pada majlis itu sentiasa mengingatkan masyarakat setempat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika berada di bazar Ramadan.

“Walaupun bazar Ramadan dibenarkan dengan SOP masing-masing tetapi pada akhirnya yang menentukan kita berjaya atau tidak untuk mengawal penularan Covid-19 adalah kita sendiri.

“Jadi penting untuk masyarakat memainkan peranan mematuhi SOP kerana itu sumbangan mereka untuk menjayakan usaha kita melawan Covid-19 ini,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah turut yakin peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengawal keadaan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|