Beluran: Angin kencang dan hujan lebat malam tadi, mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gum-Gum, di sini, mengalami kerosakan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, pada jam 8.13 malam.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dengan menggunakan sebuah jentera penyelamat kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, 30 peratus bumbung sekolah berkenaan runtuh dan rosak.
“Bagaimanapun kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” Katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut memastikan tiada sebarang kemerbahayaan di lokasi berkenaan dan operasi pemeriksaan kemudiannya ditamatkan pada jam 9.25 malam.
Terdahulu, beberapa kawasan di Sandakan dilanda ribut dan angin kencang serta berlaku hujan ais batu.
-Deasoka