Lima rumah ranap akibat tanah runtuh

Lima rumah ranap akibat tanah runtuh

Kota Kinabalu: Lima rumah di Skim Penempatan Telipok, di sini, hari ini, ranap selepas berlaku insiden tanah runtuh akibat hujan berterusan.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang mangsa selepas semua mereka sudah diarah mengosongkan rumah, sejak semalam.

Pasukan bomba melakukan tinjauan di kawasan tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok, Kota Kinabalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Keadaan tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok, Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati berlaku kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan dan melibatkan kerosakan pada lima rumah.

“Pasukan bomba kemudiannya menasihati pemilik rumah untuk mengosongkan kawasan berkenaan dan berpindah ke tempat selamat,”
katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengesan terdapat pergerakan tanah yang masih berlaku serta keadaan cuaca yang masih hujan.

Katanya, setakat ini tiada sebarang mangsa terlibat dilaporkan dan operasi ditamatkan pada jam 7.16 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|