Sandakan: Seramai 12 peniaga gerai makanan terpaksa berdepan detik getir apabila tempat jualan mereka di Bazar Ramadan kawasan Gum-Gum, Batu 16, di sini, dilanda hujan ribut dan angin kencang, semalam.
Malah dalam kejadian jam 4.15 petang itu, nasib kumpulan peniaga terbabit bertambah buruk apabila semua wang hasil jualan juga lesap diterbangkan angin
Salah seorang peniaga, Mokhtar Mamat berkata pada awalnya mereka melihat angin berbentuk seperti ‘puting beliung’ dan menghentam atap masjid berdekatan.
Katanya, angin itu kemudiannya menghentam lagi sebuah tempat mencuci kereta sebelum bertiup ke arah gerai bazar mereka.
“Angin kencang datang secara tiba-tiba ketika kami sedang sibuk menjual dan gerai kami antara yang awal terkena.
“Semua peniaga kelam kabut berlindung ditempat selamat kerana angin terlalu kencang, bukan seperti biasa dan hanya mampu melihat khemah gerai rosak,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, angin yang berlaku luar biasa kerana terlalu kuat sehinggakan mereka tidak sempat menyelamatkan barang-barang di gerai.
“Banyak peralatan gerai rosak akibat diterbangkan angin kencang termasuk khemah yang kami gunakan sudah tidak boleh diperbaiki lagi,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Asmah Alparsani berkata empat khemah jualannya rosak dan tidak boleh digunakan lagi akibat kejadian angin kencang itu.
Katanya, alat pemanggang dan perkakas lain juga rosak, manakala bahan makanan untuk jualan ketika itu semua kena buang sebab sudah bertaburan.
“Wang hasil jualan juga diterbangkan angin, sebab saya hanya ingat mahu menyelamat diri sahaja berteduh di tempat selamat.
“Duit dalam bekas hasil jualan dalam RM700 habis berterbangan, namun syukur beg untuk menyimpan dokumen sempat saya ambil,” katanya.
-Deasoka