Siapa juara Borneo Derby ditentukan malam ini

Siapa juara Borneo Derby ditentukan malam ini

Kota Kinabalu: Sabah FC menyasarkan tiga mata untuk melakar kemenangan berganda di gelanggang lawan dalam pertembungan ‘Borneo Derby’ dengan Sarawak United FC dalam aksi Liga Super di Kuching, malam ini.

Ia bagi meneruskan kemenangan yang dilakar ketika menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 April lalu.

Datuk Ong Kim Swee

Bagaimanapun, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, tidak memandang rendah kemampuan Sarawak United malah menjangkakan perlawanan malam ini sangat mencabar.

Katanya, sejarah pertemuan di antara dua pasukan berjiran itu sering menyaksikan keputusan tipis yang menggambarkan tiada jalan mudah untuk skuad Sang Badak menundukkan jirannya itu.

“Kita bermain di tempat lawan lebih-lebih lagi berhadapan tuan rumah Sarawak United. Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada mereka.

“Pertemuan ini sangat penting untuk kedua-dua pasukan kerana skuad Badak ingin meneruskan rentak kemenangan manakala Sarawak United pula ingin mencatat kemenangan pertama selepas hanya mampu mencuri satu mata dalam tiga perlawanan Liga Super,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kim Swee berkata, barisan pemain yang sama ketika menewaskan Melaka United FC pada Selasa lalu dijangka sekali lagi diturunkan malam ini.

Beliau turut mengulangi peringatannya kepada semua pemain skuad Sang Badak agar sentiasa fokus sepanjang minit perlawanan untuk memastikan tiada lagi kesilapan yang boleh mengecewakan pasukan dan peminat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|