Perlu lantik individu berkelayakan ketuai jawatankuasa bincang isu negeri – Anifah Aman

Perlu lantik individu berkelayakan ketuai jawatankuasa bincang isu negeri – Anifah Aman

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri perlu melantik rakyat Sabah yang mempunyai kelayakan untuk mengetuai jawatankuasa bagi membincangkan isu berkaitan negeri ini.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, sudah menjadi prosedur bagi Ketua Menteri untuk membentuk jawatankuasa bagi mengkaji sesuatu isu yang timbul dan memberi kesan kepada negeri.

“Jawatankuasa terbabit akan membincang dan membahaskan isu itu dan mengambil kira aspek perundangan, sosial dan ekonomi sebelum membentangkannya sama ada kepada Kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Luar bagaimanapun berkata, untuk menjadikan cadangan itu berguna dan diterima pakai oleh kerajaan negeri, orang yang berkelayakan mesti dilantik menjadi ahli dan mengetuai jawatankuasa terbabit.

“Kita perlu beralih daripada melantik ahli politik mengetuai jawatankuasa semata-mata kerana mereka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Menteri Kabinet atau berasal dari parti yang sama dengan kepimpinan negeri.

“Apa penyelesaian yang boleh dicadangkan selain daripada retorik politik jika jawatankuasa itu terdiri daripada ahli politik yang tidak mempunyai pengalaman dalam menangani perkara yang dibincangkan,” katanya.

Anifah juga berkata, selain jawatankuasa itu, Sabah tidak akan dapat maju ke hadapan sekiranya jawatan kepimpinan diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman.

“Saya faham bahawa dalam demokrasi adalah penting untuk ketua kerajaan memberi ganjaran kepada ahli parti dengan jawatan kepimpinan.

“Bagaimanapun, pemilihan yang teliti perlu dibuat bagi memastikan hanya mereka yang layak diberi jawatan kepimpinan,” katanya.

Anifah yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis berkata, kekurangan pengalaman dalam kalangan mereka yang dilantik menyandang jawatan kepimpinan akan merugikan negeri terutama apabila isu-isu tidak dapat diselesaikan termasuk berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjuangan kita untuk MA63 dihormati akan menjadi sia-sia dan kita terus ketinggalan jika tidak dapat mencari penyelesaian kepada masalah sedia ada seperti status Sabah dalam Malaysia, royalti minyak, 40 peratus pulangan daripada kerajaan persekutuan, pekerjaan, perkhidmatan awam dan lain-lain.

“Rakyat Sabah mahukan penyelesaian yang sewajarnya kepada masalah yang dihadapi rakyat Sabah dan bukannya retorik politik,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|