Piala SMJ – Misi penting Sabah FC bertemu KDA FC malam esok

Piala SMJ – Misi penting Sabah FC bertemu KDA FC malam esok

Kota Kinabalu: Sabah FC tiada pilihan selain memperbaiki corak permainan dan mempamerkan permainan lebih baik menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi akhir Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemain Sabah FC perlu mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan itu bagi menyaingi KDA FC yang mempunyai kelebihan menang dalam dua perlawanan sebelum ini.

Berbanding Sabah FC yang hanya menang satu perlawanan ketika menentang Sarawak United kelmarin dan tewas di tangan Kelantan FC pada Ahad lalu, KDA FC berada pada kedudukan selesa untuk meneruskan aksi.

Namun, Kim Swee tidak melihat kelebihan pasukan lawan itu sebagai halangan, sebaliknya beliau yakin pemain Sabah FC mampu memberikan saingan memperbaiki lagi rentak serta melipatgandakan mutu permainan berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini.

“Kita tahu KDA FC adalah pasukan ‘favourite’ dan kalau kita lihat jumlah jaringan, gol mereka jauh lebih baik serta lebih bersedia kali ini.

“Namun kita tidak mempunyai pilihan selain memperbaiki corak pemainan berbanding sebelum ini. Sudah tentu saya ingin melihat satu persembahan yang lebih baik terutama pada perlawanan terakhir Piala SMJ esok.

“Perlawanan terakhir itu penting bagi memastikan pemain benar-benar bersedia sebelum menghadapi perlawanan pertama Liga Super yang dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas mengenai jumlah pemain yang bersedia untuk diturunkan pada perlawanan malam esok, Kim Swee berkata ia bergantung kepada keadaan kecergasan pemain.

“Saya tidak pasti berapa ramai lagi yang boleh bermain untuk perlawanan esok. Ini terpulang kepada keadaan kecergasan pemain esok pagi dan tidak kira berapa ramai pemain yang kita ada kurang ataupun banyak kita harus bersiap sedia.

“Semua pemain adalah penting, tidak kira mereka kesebelasan utama ataupun tidak di mana perkara ini mungkin akan berulang pada saingan liga nanti jadi semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan.

“Jadi mahu tidak mahu semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan malam esok. Saya inginkan mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang mereka tunjukkan sebelum ini,” katanya.

Sabah FC akan bertemu KDA FC pada saingan Piala SMJ 2022 di Stadium Likas bermula jam 9 malam, esok.

KDA FC berada di tangga pertama dengan kelebihan empat jaringan manakala Sabah FC berada di kedudukan kedua dengan hanya mengutip tiga mata.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|