Padah curi kabel

Padah curi kabel

Tuaran: Berselindung di sebalik ‘vest’ dan kenderaan syarikat kontraktor berdaftar, tujuh lelaki ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti mencuri kabel milik Telekom Malaysia Bhd (TM), Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, semua lelaki berusia 20 hingga 34 tahun terbabit dikesan melakukan kegiatan berkenaan di sebuah jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tajau Termenung, di sini.

Hamizi melihat kabel milik TM yang dipotong oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kegiatan kumpulan pekerja terbabit dikesan oleh pegawai keselamatan TM yang kemudiannya bertindak menahan kumpulan suspek berkenaan sebelum menghubungi polis.

Katanya, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota dan pegawai polis terus dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Hamizi (dua dari kanan) menunjukkan vest yang digunakan oleh suspek ketika mencuri kabel milik TM.

“Hasil pemeriksaan lanjut, semua ketujuh-tujuh suspek didapati melakukan pemotongan kabel tembaga sepanjang kira-kira 190 meter.

“Turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam aktiviti mencuri kabel tembaga milik TM berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini, hari ini.

Peralatan yang digunakan oleh suspek memotong kabel tembaga sepanjang kira-kira 190 meter.

Mohd Hamizi berkata, siasatan mendapati semua suspek yang ditahan adalah pekerja di sebuah syarikat sub kontraktor yang bertanggungjawab membuat pemasangan kabel optik Unifi TM.

Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek ini, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnnya lapan kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini.

“Polis percaya, rampasan kes kali ini termasuk kabel tembaga dianggarkan bernilai RM25,000 berdasarkan harga pasaran semasa

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihati orang ramai supaya tidak terbabit secara langsung atau tidak terhadap kegiatan mencuri kabel ini.

Katanya, pengusaha besi buruk juga disarankan supaya tidak menerima barang lusuh yang tidak diketahui asal usulnya terutamanya membabitkan kabel tembaga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|