Covid-19 Sabah: Kluster Lorong Api-Api babitkan pelajar kolej disytihar di Kota Kinabalu hari ini

Covid-19 Sabah: Kluster Lorong Api-Api babitkan pelajar kolej disytihar di Kota Kinabalu hari ini

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, kali ini membabitkan pelajar sebuah kolej yang beroperasi di bandar raya ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Lorong Api-Api itu dikesan membabitkan pelajar Almacrest International College.

Katanya, kes indeks adalah seorang pelajar berumur 18 tahun yang tinggal di asrama kolej berkenaan di Api-Api Centre, mula bergejala pada 18 Januari lalu sebelum mendapatkan rawatan pada 21 Januari dan didapati positif Covid-19.

“Secara kumulatif, daripada 40 ujian saringan yang dilakukan, seramai 34 pelajar didapati positif. Kesemua yang terlibat hanya dalam Kategori 1 dan 2. Mereka sudah dihantar ke pusat kuarantin untuk pengasingan dan rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Kluster berkenaan mencatat 25 kes baharu pada hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata angka jangkitan baharu di Sabah hari ini tidak banyak berubah berbanding semalam dengan hanya mencatat penyusutan enam kes kepada 367 kes.

Katanya, daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 84 kes atau hampir satu perempat daripada jumlah kes di Sabah hari ini.

Selain kes yang berpunca daripada saringan bergejala dan saringan kontak, Masidi berkata, jumlah kes yang tinggi di Kota Kinabalu juga banyak dipengaruhi kes baharu yang berpunca daripada kluster baharu yang diisytihar di Kota Kinabalu pada hari ini.

“Sandakan juga merekodkan jangkitan yang tinggi iaitu 74 kes, diikuti Tuaran dengan 50 kes. Secara keseluruhan 10 daerah mencatat kes dua angka, 13 daerah mencatat kes satu angka dan empat daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baru.

“Sejumlah 364 daripada 367 kes di Sabah hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala dua kes dalam Kategori 3, tiada kes dalam Kategori 4 dan 1 kes dalam Kategori 5,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 31 Januari 2022
Sabah 367 (373)

Kota Kinabalu 84 (65)
Sandakan 74 (45)
Tuaran 50 (36)
Tawau 25 (54)
Kota Belud 19 (12)
Penampang 17 (45)
Putatan 17 (15)
Papar 13 (14)
Ranau 13 (12)
Beaufort 10 (28)
Telupid 9 (0)
Lahad Datu 7 (3)
Kota Marudu 6 (12)
Kuala Penyu 4 (9)
Keningau 4 (4)
Tambunan 3 (2)
Kunak 3 (3)
Kinabatangan 2 (3)
Sipitang 2 (3)
Tenom 2 (2)
Semporna 1 (1)
Nabawan 1 (0)
Pitas 1 (0)
Beluran 0 (2)
Tongod 0 (1)
Kalabakan 0 (0)
Kudat 0 (2)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 30 Januari 2022

Kluster Baharu
Kluster Lorong Api-Api
Kota Kinabalu, 34 (+25)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|