PCS dakwa calonnya hilang deposit sebab ‘salam kosong’

PCS dakwa calonnya hilang deposit sebab ‘salam kosong’

Kota Marudu: Parti Cinta Sabah (PCS) mendakwa ramai calon muda parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020 hilang deposit disebabkan ‘salam kosong’.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, dalam PRN itu, PCS meletakkan ramai calon golongan muda untuk bertanding supaya mereka dapat merasai pengalaman berpolitik.

Anifah ketika berucap pada majlis santai mesra di Kota Marudu.

“Ramai di sini antara calon-calon yang bertanding pada PRN lalu dan niat kita untuk memperkenalkan anak-anak muda supaya mereka faham pahit manis berpolitik ini.

“Jadi ramai yang hilang deposit. Saya tertanya-tanya sebab apa kita hilang deposit dan hasil laporan, disebabkan saat akhir mula-mula banyak sokongan contohnya di Kuala Penyu dikatakan ada peluang tetapi apabila hari mengundi cuma ‘salam kosong’ menyebabkan pengundi lari.

Anifah menerima borang keahlian untuk menyertai PCS di Kota Marudu.

“Yang menyedihkan, apa yang saya dimaklumkan apabila hanya salam kosong maka hilang undi, itu punca utamanya. Saya tidak tahu di sini ini sama juga tetapi adakah salam yang diberi waktu mengundi itu akan berkekalan selama lima tahun,” katanya ketika berucap pada majlis santai mesra di sini, semalam.

Sehubungan itu, bekas Menteri Luar itu berharap pengundi dapat mengubah sikap berkenaan supaya nasib mereka terbela pada masa akan datang.

“Kita di Sabah ini kaya dengan sumber-sumber asli tetapi kenapa beberapa kawasan kita di negeri ini antara yang termiskin. Adakah ini kerana sebab kamu, atau pemimpin ataupun kerajaan dan sebab itu saya datang hari ini supaya saya tahu apakah punca yang menyebabkan kawasan ini termiskin.

“Adakah rakyat di Kota Marudu bangga dengan gelaran tempat yang paling termiskin di Malaysia. Kalau tidak, nasib kamu tidak akan berubah melainkan kamu juga berubah.

“Saya bukan menuduh kalau di sini ada ‘salam ada isi’ itu, tetapi kalau itu yang kita amalkan sampai hari kiamat juga rakyat ini tidak akan bertukar nasib,” katanya.

Pada majlis itu Anifah menerima sebanyak 572 borang keahlian untuk menyertai PCS yang terdiri daripada bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Kota Marudu dan Kudat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden PCS, Datuk Pang Yuk Ming; Bendahari PCS, Datuk Murshidi Abd Ghaffar dan Ketua Bahagian PCS Kota Marudu, Datuk Webley Disim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|