Penerbangan Kota Kinabalu – Kuala Terengganu rancakkan pelancongan Sabah

Penerbangan Kota Kinabalu – Kuala Terengganu rancakkan pelancongan Sabah

Kota Kinabalu: Laluan penerbangan baharu menghubungkan Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu bakal merancakkan lagi pelancongan domestik sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penyediaan perkhidmatan udara itu sudah pasti akan membantu memulihkan industri pelancongan khususnya di negeri Sabah.

Katanya, destinasi baharu itu akan menjadikan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong bukan saja dari Semenanjung tetapi juga pelancong antarabangsa.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak AirAsia kerana memilih Kota Kinabalu sebagai salah satu laluan baharunya.

“Kita berharap ia dapat terus bekerjasama dalam memulihkan industri pelancongan khususnya di negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jafry berkata, Sabah amat mengalu-alukan lebih ramai pelancong tempatan untuk datang meneroka Sabah dan menikmati tawaran pelancongan serta kebudayaannya.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri pelancongan,” katanya.

Semalam, penerbangan sulung AirAsia AK5310 bagi lauan baharu itu berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang.

Penerbangan di antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu akan berlepas pada setiap Ahad dengan tambang promosi sehala sedia untuk tempahan bermula dengan serendah RM128.

Harga promosi itu dibuka bermula sekarang hingga 14 Februari ini untuk perjalanan bagi tempoh 13 Februari hingga 30 September 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|