Rumah wanita warga emas uzur, lantai serta tilam basah jika hujan lebat

Rumah wanita warga emas uzur, lantai serta tilam basah jika hujan lebat

Kota Marudu: “Kalau hujan lebat, habis basah lantai dan tilam tempat saya tidur,” luah warga emas yang tinggal di rumahnya yang sudah uzur di Kampung Asin-Asin, di sini.

Menurut Rujia Bombo, 71, keadaan dirinya yang diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais makan petang makan petang’ menyebabkan dia tidak berkemampuan untuk membaik pulih rumah yang didiaminya sejak lebih 10 tahun lalu.

Keadaan rumah Rujia yang kelihatan uzur dan dinding bocor selepas didiaminya sejak lebih 10 tahun lalu di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.

Katanya lagi, dia kini hanya tinggal bersendirian selepas kematian anak dan suaminya beberapa tahun lalu.

“Ini adalah rumah saya sendiri tetapi keadaannya sudah terlalu uzur di mana dinding dan atap rumah bocor di merata tempat.

Anifah menyampaikan sumbangan kepada Rujia dalam kunjungannya di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.

“Kalau hujan, sudah tentu terkena tempias dan saya cuma boleh tutup menggunakan plastik. Kalau hujan lebat, tidak dapat menampung dan menyebabkan semuanya basah,” katanya ketika ditemui di kediamanya, baru-baru ini.

Rujia dalam pada itu mendakwa tidak menerima sebarang bantuan daripada agensi berkaitan untuk membantunya membaiki rumah atau menyara kehidupannya sebagai ibu tunggal dan warga emas.

“Saya sudah mohon sebelum ini tetapi tiada khabar berita. Jadi saya cuma bergantung kepada hasil jualan siput dan lokan untuk menyara kehidupan seharian.

“Dengan wang hasil jualan itulah saya dapat membeli barang makanan seperti beras, gula dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman yang membuat kunjungan di kampung itu turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk termasuk Rujia.

“Hari ini kita turun menyampaikan sumbangan 300 pek beras dan telur untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

“Saya tidak berjanji tetapi kita akan bantu mana yang boleh,” katanya ketika berkunjung ke rumah Rujia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|