Banyak sinergi boleh dimanfaat bersama Sabah dan Sarawak – Hajiji

Banyak sinergi boleh dimanfaat bersama Sabah dan Sarawak – Hajiji

Kuching: Banyak sinergi boleh dimanfaatkan bersama di antara negeri ini dan Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam lawatan beliau ke Sarawak hari ini.

Beliau berkata, lawatannya itu bertujuan untuk meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Hajiji bertemu dengan Abang Johari dalam lawatannya ke Kuching, Sarawak.

“Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah dan perjuangannya. Oleh itu terdapat banyak sinergi untuk dimanfaatkan untuk kita bersama.

“Sebagai ahli dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kami telah bekerjasama secara padu untuk mendesak kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang berkaitan dengan MA63 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu sempena lawatan sulung beliau ke Kuching selepas rakan sejawatnya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Disember lalu.

Dalam sesi lawatannya itu juga Hajiji secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Abang Johari atas kejayaannya mendapatkan mandat yang jelas untuk menerajui kerajaan.

Hajiji berkata, dalam pertemuan itu, Abang Johari turut berkongsi pandangannya mengenai beberapa perkara termasuk hubungan antara negeri dan persekutuan, keperluan untuk kestabilan politik, hak Sarawak dan pendirian bersama yang boleh diambil oleh Sarawak dan Sabah dalam mendapatkan hak negeri.

Hajiji berkata, mereka berdua sudah lama mengenali antara satu sama lain kerana pernah menjadi rakan sekerja ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Perumahan dalam Kerajaan Tempatan.

Sehubungan itu, lawatan itu adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan erat yang sudah sedia ada dengan Sarawak.

Turut mengiringi Hajiji dalam lawatan itu termasuk tiga timbalannya iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Selain itu, turut menyertai rombongan kerajaan negeri termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|