Penganggur simpan bakakuk ditahan

Penganggur simpan bakakuk ditahan

Beaufort: Seorang lelaki ditahan selepas didapati menyimpan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kebatang, Klias Kecil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 46 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ketika melakukan Ops Cantas, Limau dan Ops Laras di kawasan berkenaan.

Bakakuk yang disimpan suspek di rumahnya di Kampung Kebatang, Klias Kecil, Beaufort. Pix Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, ketika serbuan dilakukan, suspek memaklumkan bahawa dia ada menyimpan senjata api berkenaan.

“Suspek memaklumkan bahawa bakakuk bersama dua butir peluru itu diletakkan di belakang pintu bilik tidur rumahnya.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek tidak mengaku bahawa senjata api itu miliknya dan menyatakan ketika tinggal di rumah sewa itu sejak lima tahun lalu, ia sudah pun berada di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff berkata lagi, pihaknya terpaksa menahan suspek untuk tindakan selanjutnya.

“Saspek juga merupakan seorang penganggur ditahan dan senjata api bersama peluru dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|