Maritim Malaysia rampas 700 tong gas LPG cuba diseludup ke negara jiran

Maritim Malaysia rampas 700 tong gas LPG cuba diseludup ke negara jiran

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo yang sarat dengan muatan tong gas petroleum cecair (LPG), di barat daya Sungai Logpon, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 6.15 petang itu, bot tempatan terbabit dipercayai cuba menyeludup keluar sebahagian besar daripada 700 tong gas berkenaan ke negara jiran.

Maritim Malaysia Tawau menahan bot kargo yang sarat dengan muatan 700 tong gas LPG dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot berkenaan ditemui bot ronda yang sedang dalam penugasan Ops Sejahtera dan Ops Cegah Pati Selatan.

Katanya, ia dikesan dalam keadaan mencurigakan dengan dinaiki lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 62 tahun yang bergerak dari arah Sungai Logpon menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal mendapati tekong bot berkenaan mengemukakan permit barangan untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik.

“Namun, pemeriksaan fizikal mengesyaki bot terbabit membawa tong gas LPG yang diklasifikasikan sebagai barang kawalan secara berlebihan daripada jumlah yang ditetapkan di dalam permit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Siva Kumar berkata, semua tekong dan penumpang bersama bot dan muatan terus ditahan dan diiringi ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo berkenaan menemukan sejumlah 700 tong gas LPG dengan berat 14 kilogram setiap tong.

“Ia melebihi jumlah yang dibenarkan di dalam permit yang diluluskan oleh KPDNHEP iaitu sebanyak 260 tong,” katanya.

Siva Kumar berkata, Zon Maritim Tawau akan membuat siasatan lanjut berhubung kemungkinan cubaan untuk menyeludup keluar barang kawalan berkenaan ke negara jiran.

Katanya, ia berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang sangat hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan yang disita dianggarkan bernilai RM167,000,” katanya.

Sehubungan itu, Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, kerjasama dengan agensi-agensi lain juga akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|