Kerajaan diminta beri perhatian selenggara Jalan Tuaran-Ranau

Kerajaan diminta beri perhatian selenggara Jalan Tuaran-Ranau

Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya persekutuan dan negeri diminta supaya memberi perhatian terhadap penyelenggaraan jalan raya dari Tuaran ke Ranau yang menjadi laluan utama rakyat negeri ini serta pelancong dalam dan luar negeri.

Timbalan Ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR Sabah, Thonny Chee berkata, lawatannya dari Kundasang ke Ranau semalam mendapati keadaan jalan raya semakin teruk.

Thonny Chee

“Ada kawasan kritikal dan bahaya perlu diselenggara dengan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami tidak mahu masalah jalan raya ini akan menjejaskan usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan sektor utama termasuk pelancongan dengan disokong oleh jaringan infrastruktur asas seperti jalan raya yang diselenggara dengan baik,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Thonny dalam pada itu turut meminta supaya kerajaan Pusat menambah peruntukan untuk menyelenggara jalan raya persekutuan di negeri ini.

“Ini termasuk memberi tumpuan kepada laluan-laluan utama terutama segmen-segmen kritikal yang perlu perhatian segera.

“Selain itu, kami juga ingin mengingatkan kerajaan negeri khususnya Kementerian Kerja Raya bahawa status jalan raya negeri ini yang sepanjang 22,370.95 kilometer (km) hanya lebih kurang 48 peratus saja yang berturap.

“Jalan raya luar bandar sepanjang 2,673.11 km masih lagi 34 peratus jalan kelikir dan 11 peratus jalan tanah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar isu jalan raya negeri ini perlu ditangani sebaik mungkin dalam merealisasikan Halatuju SMJ yang mengenal pasti pemetaan tumpuan jaringan infrastruktur berdasarkan nod dan hotspot yang bakal menjadi pemacu kawasan ekonomi negeri ini.

“Akhir sekali, kami meminta Ahli Parlimen Ranau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sana dapat menyuarakan isu penyelenggaraan jalan raya ke Ranau ini pada sidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Mesyuarat Kabinet untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|