Persatuan dan Kapitan Cina Tuaran terima ‘angpau’ daripada Hajiji

Persatuan dan Kapitan Cina Tuaran terima ‘angpau’ daripada Hajiji

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini memberikan ‘angpau’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada Persatuan Komuniti Cina dan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) daerah Tuaran.

Angpau sebanyak RM5,000 diberikan kepada Persatuan Komuniti Cina, manakala RM2,000 kepada setiap Kapitan Cina bagi di kawasan Tuaran termasuk di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

Hajiji menyerahkan limau kepada pemimpin masyarakat Cina daerah Tuaran sempena Tahun Baharu Cina di Tembara Ku, Kampung Serusop, Tuaran.

Hajiji berkata, setakat ini untuk kawasan Tuaran terdapat seramai tujuh Kapitan Cina dan bilangannya akan ditambah sekiranya ada keperluan.

“Bantuan kewangan yang diberikan ini sebagai tanda kemesraan dan kasih sayang saya selaku Ketua Menteri sempena Tahun Baharu Cina,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Cina Daerah Tuaran di Tembara Ku, Kampung Serusop, hari ini.

Turut hadir isteri Hajiji, Datin Seri Juliah Salag; Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Tan Sri David Chew; Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Sabah, Datuk Alexander Lo Su Hyen dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Negeri, Datuk Johari Saiman.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berharap sempena Tahun Harimau ini keadaan ekonomi Sabah dan negara akan pulih dan bertambah baik.

Beliau yakin sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi agar aktiviti pelancongan dapat digerakkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Apabila sempadan negara dibuka kelak, kita mahu aktiviti pelancongan ditingkatkan.

“Kedatangan ramai pelancong asing akan membawa kebaikan kepada negeri ini, terutamanya peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat kita dan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Mengulas berhubung perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua pada 1 dan 2 Februari depan, beliau berkata, keunikan di Sabah ialah perayaan itu turut diraikan bersama oleh masyarakat dan kaum lain di negeri ini.

Sehubungan itu, Hajiji berharap rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa bagi mengekang menularan semula Covid-19 khususnya dengan kemunculan varian baharu.

“Walaupun kes Covid-19 semakin menunjukkan penurunan, rakyat sama sekali tidak boleh alpa, sebaliknya perlu sentiasa kekal mematuhi SOP,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|