Lagi cubaan menceroboh masuk digagalkan

Lagi cubaan menceroboh masuk digagalkan

Semporna: Cubaan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk ke negara ini tanpa dokumen sah berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di perairan Laut Mataking Kecil, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, sebaik perahu warga asing itu dikesan, pasukan operasi terus mengejar dan memintas untuk pemeriksaan.

Anggota PPM mengarahkan tiga PATI keluar dari perairan negara.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki tiga warga asing membabitkan seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang berasal dari Pulau Sitangkai, Filipina.

“Setelah pemeriksaan dijalankan mendapati, semua warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang pas perjalanan dan memasuki perairan Malaysia secara tidak sah.

“Pengusiran terus dibuat dengan mengiringi perahu keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad berkata, ia selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Semporna akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Semporna.

Katanya, ia adalah salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19 dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

“PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan maklumat bagi mengekang jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197.

“Maklumat juga disalurkan dengan berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Semporna bagi memastikan tindakan melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|