KPLB Sabah teliti konsep bina telaga untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB)

KPLB Sabah teliti konsep bina telaga untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB)

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan meneliti beberapa konsep dalam usaha membekalkan air bersih kepada penduduk yang memerlukan terutama di kawasan pedalaman dan pulau di negeri ini.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, konsep yang diguna pakai oleh kumpulan sukarelawan iaitu menyediakan telaga untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di Pulau Tambisan, Lahad Datu, boleh diterima pakai untuk projek di tempat lain.

“Dalam KPLB, terdapat projek dikenali sebagai Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan kita mempunyai beberapa konsep untuk masalah ini, ada pelbagai cara dan ada yang mahal.

“Tetapi selepas mendengar taklimat daripada mereka yang terlibat dalam pembinaan telaga di Pulau Tambisan dengan jumlah peruntukan yang sedikit boleh memberi manfaat kepada lebih 50 keluarga dan sudah bertahan lebih lima tahun,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Aspirasi Sukarelawan di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika projek yang dilaksanakan sukarelawan berkenaan boleh diguna pakai di bawah kementeriannya untuk dimanfaatkan kepada penduduk di negeri ini yang memerlukan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangul merangkap Penasihat MyAmal Sabah dan selebriti yang juga sukarelawan, Diana Amir.

Jahid berkata, projek yang tidak memerlukan kos yang tinggi tetapi mendatangkan impak yang besar harus dimanfaatkan dan pihaknya akan meneliti perkara itu untuk diadaptasi ke dalam projek yang lain.

“Ini sesuatu yang menarik teknologinya, sangat mudah tetapi impaknya tinggi. Di Sabah ini ada beberapa tempat yang memerlukan, menghadapi masalah air dan untuk menyalurkan bekalan yang moden dan terawat mengambil masa yang panjang serta mahal.

“Jadi dengan kaedah ini telah dibuktikan boleh menyelesaikan masalah. Oleh itu, saya akan meminta pegawai di kementerian terus ke sana bagi meneliti kaedah itu dan sekiranya ia seperti yang dikatakan, kita akan mengamalkan teknologi ini di tempat yang memerlukan. Murah, mudah dibuat dan bertahan lama. Ibarat kata-kata yang dipegang selalu minimumkan kos, maksimumkan impak,” katanya.

Diminta mengulas lanjut, Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, banyak tempat yang memerlukan kemudahan bekalan air bersih bukan saja di pulau malah di kawasan pedalaman.

“Macam di Kampung Samba di Tamparuli, di Semporna dan ada beberapa permohonan sudah kita terima. Banyak permohonan tetapi lain-lain itu memerlukan kos yang sangat tinggi.

“Jadi kaedah yang dilakukan di Pulau Tambisan itu boleh diterima akal dan praktikal serta boleh digunakan di tempat lain namun kita kena teliti secara serius,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|