KPDNHEP tingkatkan penguatkuasaan sempena Ramadan, Aidilfitri

KPDNHEP tingkatkan penguatkuasaan sempena Ramadan, Aidilfitri

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan sepanjang bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri menerusi Ops Pantau 2022.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, operasi berkenaan bertujuan untuk memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah.

Pasukan penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi membabitkan gerai jualan makanan sempena Ramadan.

Selain itu katanya, ia juga bagi memastikan tiada unsur pencatutan yang dilakukan peniaga dalam penetapan harga barangan dan perkhidmatan.  
 
“Di samping premis-premis tradisi seperti pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasaraya, hypermarket dan kedai runcit, Ops Pantau 2022 akan mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan meliputi Bazar Ramadan.

Pemeriksaan turut dijalankan di beberapa pasar raya bagi memastikan harga jualan dan bekalan makanan mengikut kepada ketetapan pihak berkuasa.

“Ia juga meliputi kedai makan yang menjual juadah berbuka puasa dan Bazar Aidilfitri di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
 
 Georgie berkata, KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang banyak terhadap sesebuah premis atau gerai.

Katanya, siasatan membabitkan semakan harga bahan mentah dari pembekal, kos pembuatan, kos operasi dan harga di peringkat pengeluar dan pemborong.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika peniaga didapati bersalah menyorok barang kawalan dan mencatut seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
 
“Berdasarkan statistik Ops Pantau 2022 yang dilaksanakan bermula 3 April 2022, KPDNHEP Sabah sudah menjalankan sebanyak 614 pemeriksaan premis di seluruh negeri ini sehingga semalam,” katanya.

Georgie berkata, sepanjang pemeriksaan itu, sebanyak lima kes dihasilkan atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM2,200.

Katanya, operasi itu antara lain turut memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang iaitu aduan harga tinggi, unsur pencatutan, jualan murah, alat timbangan dan penjualan barang tiruan atau cetak rompak,

“Ia juga membabitkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), halal dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
 
Sementara itu, Georgie berkata, KPDNHEP Sabah juga akan mempertingkatkan keberadaan hampir 200 anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna.

Katanya, ia bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika.
 
“KPDNHEP Sabah ingin mengingatkan kepada semua peniaga supaya terus mematuhi segala perundangan yang ditetapkan oleh Kerajaan terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Ia bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak penguat kuasa Kementerian.
 
“Pengguna juga disarankan supaya merancang perbelanjaan serta memiliki pengetahuan berkenaan kedudukan harga barang bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Georgie berkata, pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga juga diminta menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak KPDNHEP menerusi saluran aplikasi WhatsApp ditalian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan menerusi Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau menerusi emel di alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Mobileapps Ez ADU KPDNHEP.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|