Cubaan seludup 4,080 kilogram minyak masak bersubsidi gagal

Cubaan seludup 4,080 kilogram minyak masak bersubsidi gagal

Lahad Datu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima lelaki kerana disyaki cuba menyeludup keluar 4,080 kilogram minyak masak bersubsidi, semalam.

Kelima-lima lelaki termasuk empat warga asing berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan di Jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, di sini, jam 10.15 malam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, penahanan dibuat berikutan maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan jeti berkenaan.

Berikutan itu, katanya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat bagi pemeriksaan dan serbuan.

“Hasil serbuan melalui laut dan darat menahan seorang lelaki tempatan bersama empat warga asing yang ketika itu sedang menunggah kotak berisi minyak masak dari lori ke bot dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Selain itu, sebuah bot kargo, dua lori berisi 240 kotak minyak masak dianggarkan berjumlah 4,080 kilogram serta dua motosikal yang digunakan dalam kegiatan berkenaan turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM234,096.

“Semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan kuota pembelian minyak masak bersubsidi yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi setiap isi rumah adalah sebanyak dua kilogram sahaja dalam satu masa.

“Kegiatan haram ini memberi kesan kepada 2,040 keluarga di Sabah dan Lahad Datu khususnya.

“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan daerah ini,” katanya.

Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|