Kos pendidikan terus meningkat, ibu bapa disaran menabung dari sekarang

Kos pendidikan terus meningkat, ibu bapa disaran menabung dari sekarang

Kota Belud: Ibu bapa perlu membuat persediaan awal bagi mengelak masalah kewangan untuk membiayai pendidikan anak pada masa hadapan berikutan peningkatan kos pendidikan yang dijangka akan terus berlaku.

Penyelaras Program Si Cilik ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Datuk Japlin Akim berkata inisiatif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menubuhkan SSPN harus direbut ibu bapa ketika ini.

Japlin bersama Wan Saiful dan murid Tadika Kemas di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.

“Hari ini pun kita semua terpaksa mengakui bahawa kos pendidikan sudah cukup tinggi dan membebankan, apatah lagi untuk masa 15 atau 20 tahun akan datang.

“Oleh itu, saya sarankan agar ibu bapa segera memanfaatkan SSPN yang diwujudkan oleh kerajaan sebagai persediaan awal menghadapi apa juga kemungkinan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Si Cilik ke Sekolah Bersama Simpan SSPN 2022 kawasan Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said Kota Belud, di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pada program itu, seramai 100 murid dari lapan Tadika Kemas di daerah ini menerima sumbangan akaun SSPN bernilai RM100 dan beg sekolah setiap seorang.

Japlin berkata, dengan simpanan serendah RM20 bagi pembukaan akaun, menabung melalui SSPN mempunyai banyak kelebihan.

Katanya, program SSPN juga dapat memberi pendedahan terutama kepada pelajar luar bandar untuk lebih berdaya saing dalam pendidikan sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan keluarga.

“Ibu bapa perlu merancang masa depan anak-anak mereka sebaik mungkin kerana kehidupan pada masa depan sudah pasti lebih mencabar berbanding hari ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|