Pemimpin masyarakat didedah keselamatan penggunaan elektrik, gas

Pemimpin masyarakat didedah keselamatan penggunaan elektrik, gas

Kota Belud: Seramai 40 pemimpin masyarakat terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ketua kampung, di sini, diberi pendedahan mengenai aspek keselamatan penggunaan elektrik dan gas.

Pendedahan itu dibuat menerusi Seminar Keselamatan Elektrik dan Gas serta Kecekapan Tenaga anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) Pantai Barat Sabah yang diadakan di sini, kelmarin.

Jefrey memberi penerangan mengenai keselamatan elektrik dan gas pada Seminar Keselamatan Elektrik dan Gas serta Kecekapan Tenaga anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) Pantai Barat Sabah di Kota Belud.

Seminar berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan alat perlindungan Peranti Arus Baki (PAB), amalan keselamatan pepasangan gas domestik, amalan penjimatan tenaga di rumah dan keselamatan penggunaan elektrik.

Pengarah kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata penganjuran seminar itu disasar untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan elektrik dan gas serta kecekapan tenaga dalam kalangan pemimpin masyarakat.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya membeli kelengkapan elektrik yang mempunyai label ST-SIRIM, tidak sesekali mengubah suai kelengkapan elektrik yang rosak dan mengelak daripada menggunakan kelengkapan elektrik dalam keadaan basah selain tidak menghampiri talian atas elektrik ketika menjalankan aktiviti memotong dahan pokok.

Katanya, ST turut berharap agar masyarakat lebih berhati-hati ketika musim banjir bagi mengelakkan kemalangan elektrik seperti renjatan elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan dan lebih buruk lagi membawa maut.

“Sebelum menghidupkan semula suis utama pada papan agihan, pastikan pendawaian dan pembumian rumah diperiksa, dibaiki dan diuji oleh kontraktor elektrik dan disahkan selamat oleh pendawai elektrik yang berdaftar dengan ST,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar peserta berkongsi segala ilmu pengetahuan yang diperoleh pada seminar itu kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di kawasan masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|