Segerakan pembinaan CIQS di sempadan Kalimantan-Sabah, Kalimantan-Sarawak – Maximus

Segerakan pembinaan CIQS di sempadan Kalimantan-Sabah, Kalimantan-Sarawak – Maximus

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat digesa menyegerakan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di semua pintu masuk Malaysia – Indonesia di sempadan Kalimantan – Sabah dan Kalimantan – Sarawak.

Perkara itu ditekankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, sejajar pembukaan ibu negara baharu Indonesia yang dinamakan Nusantara di Kalimantan Timur yang dijangka pada 2024.

Maximus menunjukkan Titik Nol atau Titik Sifar yang menjadi tapak ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Beliau berkata, rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak tumpang teruja dengan pemilihan wilayah Kalimantan selepas disebut sebagai lokasi baharu ibu negara Indonesia menggantikan Jakarta di Pulau Jawa.

“Namun, sejauh mana kita teruja dengan perkembangan baharu ini, di pihak Malaysia, kita perlu bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan perubahan yang besar.

“Ada beberapa isu yang perlu kita berikan perhatian sejajar dengan pembukaan ibu negara baharu Indonesia itu seperti ekonomi perdagangan sempadan, logistik dan keselamatan.

“Wujud keperluan untuk kerajaan persekutuan mempercepatkan pembinaan pusat CIQS di semua pintu masuk ke Malaysia (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sempena lawatannya ke Nusantara, Kalimantan Timur, semalam.

Beliau mengetuai delegasi khas 40 pegawai Malaysia yang turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam meninjau lokasi ibu negara baharu Indonesia itu.

Maximus berkata Malaysia juga teruja dengan perkembangan baharu di wilayah Kalimantan, Indonesia itu kerana ia disasar bakal membawa limpahan ekonomi yang turut memberi manfaat kepada jirannya, wilayah Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Nusantara yang bakal menjadi titik sifar atau disebut ‘nol’ di Indonesia terletak di antara Penajam Paser dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur dengan keluasan 256,105 hektar iaitu empat kali lebih besar berbanding Jakarta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|