Kerajaan Sabah komited martabat syiar Islam

Kerajaan Sabah komited martabat syiar Islam

Kota Belud: Kerajaan Sabah sentiasa memberi perhatian kepada usaha memartabat dan memperkasakan syiar Islam di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, peruntukan yang disalurkan termasuk membina masjid baharu membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuhkan pembangunan Islam di negeri ini.

“Pembinaan masjid baharu bukan sahaja membantu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah tetapi juga memberi keselesaan kepada rakyat untuk melaksanakan sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

“Ini penting kerana masjid merupakan rumah ibadat bagi mengerjakan solat dan majlis keagamaan serta pusat aktiviti sosial,” katanya pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Masjid Ar-Rahman Kampung Ambong, di sini, hari ini.

Salleh berkata, pembinaan masjid itu menunjukkan kerajaan sentiasa peka terhadap pembangunan semasa yang diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan luar bandar.

“Sebagai sebuah institusi membina kemajuan ummah, masjid wajar dijaga dengan baik. Oleh itu, setiap individu Muslim seharusnya menunjukkan iltizam bagi memastikan pengurusan masjid berfungsi sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah,” katanya.

Sebelum itu, Salleh turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Belud kerana melaksanakan urus tadbir yang melibatkan keperluan umat Islam termasuk pembangunan masjid dan surau serta tanah perkuburan di daerah ini.

“JHEAINS melalui sudahpun mengeluarkan peruntukan bagi pembinaan Masjid Ar-Rahman Kampung Ambong.

“Semua ini adalah amat penting untuk menjaga kemaslahatan agama Islam,” ujar beliau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|