Jeffrey dakwa Shafie berbohong pasal NCA

Jeffrey dakwa Shafie berbohong pasal NCA

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal didakwa memalsukan maklumat berkaitan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata Presiden Parti Warisan (WARISAN) itu sanggup melakukan pembohongan semata-mata untuk kepentingan politik.

“Mula-mula dia (Shafie) menuduh kerajaan menjual dua juta hektar tanah kepada orang asing dan sekarang dia kata ia dipajak. Dia tahu apa yang dikatakannya adalah pembohongan tetapi dia tetap melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata perjanjian itu (NCA) adalah semata-mata untuk memelihara hutan dan membenarkan syarikat dari Singapura untuk memperdagangkan karbon bagi merealisasikan nilai kewangannya menerusi sains.

Katanya, syarikat terbabit, Hoch Standard Pte Ltd akan mencari pembida yang menawarkan harga terbaik kepada kerajaan negeri.

“Realitinya, ketika Shafie masih Ketua Menteri, dia juga membuat perkara yang sama tetapi tidak sempat menyelesaikannya kerana WARISAN kalah dalam pilihan raya.

“Malah, WARISAN menganjurkan seminar mengenai perkara ini dan dirasmikan timbalan Shafie, Datuk Seri Madius Tangau,” katanya.

Jeffrey mendedahkan ketika di bawah WARISAN, Mohd Shafie bersetuju dengam formula 51:49, iaitu 51 peratus untuk kerajaan dan 49 peratus kepada syarikat.

Sebaliknya, beliau berkata NCA yang dipersetujui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menetapkan 70 peratus keuntungan kepada kerajaan, manakala pihak syarikat yang bertanggungjawab dalam pemasaran dan jualan hanya mendapat 30 peratus.

Katanya, berdasarkan perjanjian yang lebih baik itu, tidak mungkin kerajaan GRS membatalkan atau menghentikan NCA yang dicadangkan oleh Mohd Shafie sebelum ini.

Selain itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata Mohd Shafie salah apabila menilai keupayaan syarikat kerana cara konvensional gagal memasukkan kesalinghubungan dan jaringan syarikat, selain pemegang saham serta pengarah syarikat atau syarikat tujuan khas.

“Saya menasihatkan Shafie supaya berhenti berbohong kerana ia memudaratkan semua orang. Dia (Shafie) dan pengikutnya sepatutnya lebih fokus kepada parti politik mereka.

“GRS melakukan apa saja yang ia boleh untuk membangunkan Sabah dan kita memberi tumpuan dalam memulihkan ekonomi ketika tempoh yang sukar ini,” katanya.

Jeffrey berkata, membatalkan NCA akan meletakkan Sabah terpaksa bekerja keras semula selain melambatkan pelan pembangunan yang sudah dirancang untuk negeri ini.

“Kita tidak mahu mengurus dan mentadbir Sabah seperti dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Bagaimana kita boleh mendapatkan keputusan yang berbeza jika kita masih menggunakan strategi sama yang dibuktikan tidak berkesan,” soalnya.

Menerusi satu kenyataan sebelum ini, Mohd Shafie mempersoalkan kelulusan NCA berkenaan yang tidak dibawa untuk dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN), selain menyifatkannya berat sebelah dan merugikan rakyat serta negeri Sabah kerana dikendalikan syarikat luar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|