13 lokasi pemberian vaksin kanak-kanak dibuka di Sandakan

13 lokasi pemberian vaksin kanak-kanak dibuka di Sandakan

Sandakan: Program Imunisasai Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilaksanakan di daerah ini bermula hari ini membabitkan 13 lokasi pemberian vaksin.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, lokasi terbabit merangkumi enam Klinik Kesihatan dan tujuh Klinik Komuniti di sekitar daerah ini.

“Klinik yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Sandakan, Klinik Kesihatan Ulu Dusun, Klinik Kesihatan Sungai Manila, Klinik Kesihatan Batu 10, Klinik Desa Batu Tujuh dan Klinik Ibu dan Anak Bandar Sandakan.

“InsyaAllah pada minggu depan kita akan buka di Klinik Komuniti mengikut keadaan. Sasaran kita di Sandakan seramai 51,564 orang kanak-kanak yang layak divaksin,” katanya pada sidang media sempena program pemberian vaksin kanak-kanak di Klinik Kesihatan Sandakan, di sini, hari ini.

Katanya, bagi Klinik Komuniti, antara yang dijadikan pusat pemberian vaksin kanak-kanak ialah Klinik Komuniti Karamunting, Bandar Letat, Bandar Labuk, Bandar Leila, Taman Seletar, Klinik Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni dan PPR Gum-Gum.

Beliau berkata, ibu bapa bersama anak mereka boleh datang terus ke mana-mana klinik terbabit atau membuat temujanji secara dalam talian terlebih dahulu.

Mengulas program vaksinasi yang bermula hari ini, beliau berkata, sambutan agak positif dengan ibu bapa datang secara sukarela bersama anak untuk mendapatkan vaksin bermula jam 10 pagi tadi.

“Hari ini alhamdulillah ada nampak yang datang sudah mendapat informasi lebih awal dan secara sukarela datang menerima suntikan untuk anak mereka.

“Apabila saya tanya mereka tadi, mereka pentingkan kesihatan untuk anak-anak supaya anak-anak mereka apabila pergi ke sekolah kurang kemungkinan ataupun tiada kemungkinan mendapat jangkitan Covid-19.

“Hari ini di Sandakanpun sudah nampak kes Covid-19 meningkat semula, jadi kita berharap kepada semua ibu bapa jangan takut, jangan tunggu, kita buka setiap hari bekerja dan kita juga buka pada Sabtu dan Ahad untuk membolehkan ibu bapa yang bekerja membawa anak-anak ke klinik yang dinyatakan,” katanya.

PICKids dilancarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam aitu bagi memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|