Ajaran Wali Tujuh boleh ancam keselamatan negeri – Mohd Arifin

Ajaran Wali Tujuh boleh ancam keselamatan negeri – Mohd Arifin

Kota Kinabalu: Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif tidak menolak ajaran Wali Tujuh yang dikesan baru-baru ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai ajaran itu sedang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan pejabat Mufti Sabah.

Mohd Arifin ketika hadir pada Majlis Maulid dan Tahlil Perdana sempena Hari Kastam Sedunia yang ke-40 di Surau Al-Abid, Desa Kastam Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Itu tidak mustahil (mengancam keselamatan) dan sebab itu kita perlukan penjelasan kerana kita tidak mahu nilai-nilai yang bertentangan dengan agama.

“Biasanya yang bertentangan, yang menyeleweng ini mudah untuk ekstrem, mudah untuk menyelewengkan semangat atau akidah untuk melakukan sesuatu kekerasan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Abid, Desa Kastam Sepanggar, di sini, malam tadi.

Beliau menghadiri Majlis Maulid dan Tahlil Perdana sempena Hari Kastam Sedunia Ke-40 yang turut dihadiri Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Mohd Arifin mengulas berhubung tangkapan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai terbabit dalam ajaran meragukan di Kinabatangan pada Selasa lalu yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada Sabah.

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat sejauh mana penyebaran ajaran berkenaan di seluruh negeri ini dan dijangka maklumat berhubung perkara itu diterima dalam masa terdekat.

“Kita akan dapatkan maklumat dulu, dalam minggu ini ada data. Kita akan dapatkan juga sumber daripada yang membuat laporan berkenaan.

“Mufti sedang meneliti perkara berkenaan dan kita boleh rujuk kepada mufti kita,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini bahagian penguat kuasa dan pegawai tadbir JHEAINS daerah sudah diarah untuk membuat siasatan mengenainya.

“Hasil siasatan akan dibawa ke pejabat Mufti Sabah untuk mendapatkan pandangan hukum berhubung ajaran itu.

“Ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Arifin menasihatkan orang ramai yang meragui sesuatu ajaran diminta merujuk atau melaporkan segera kepada JHEAINS di daerah-daerah.

“Kalau kita di daerah, rujuk kepada JHEAINS, rujuk kepada guru-guru agama kita yang bertauliah dan sekiranya kita ragu-ragu InsyaAllah kita akan berikan penjelasan.

“Sebelum inipun kita sudah mewartakan beberapa ajaran yang menyeleweng dan ini boleh dirujuk daripada warta dan juga kepada irsyad hukum jabatan atau pejabat mufti negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|