Kerajaan lulus tanah rizab baharu perkampungan di DUN Tanjung Batu

Tawau: Kerajaan negeri meluluskan dua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, di sini sebagai tanah rizab tapak perkampungan baharu yang sah didiami penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kelulusan itu atas inisiatif dan keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat di negeri ini.

Hajiji (tiga kiri) menyaksikan simbolik penyerahan geran tanah daripada Pengarah Tanah dan Ukur Sabah, Bernard Liew Chau Min (empat kanan) kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju memberikan geran tanah kepada penduduk Kampung Tanjung Batu Laut dan Kampung Budaya Pasir Putih.

“Kelulusan itu membuktikan kerajaan negeri mendengar denyut nadi dan keluhan rakyat yang selama ini tinggal di kawasan tidak diwartakan sebagai perkampungan.

“Penduduk yang tinggal di kedua-dua kawasan itu tidak lagi perlu bimbang kerana tanah kediaman mereka sudah dijadikan sebagai tanah rizab kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sabah Softwoods Berhad dan penyerahan geran tanah, di sini, hari ini.

Seluas 2.101 hektar tanah diluluskan sebagai tanah rizab perkampungan bagi Kampung Tanjung Batu Laut, manakala 37.73 hektar di Kampung Budaya Pasir Putih.

Kampung Tanjung Batu Laut wujud sejak 1940 dengan jumlah penduduknya kini seramai 4,526 orang.

Sementara itu, Hajiji bersyukur kerana Malaysia sudah terlepas daripada fasa pandemik yang membolehkan majlis-majlis bersemuka diadakan semula.

“Majlis rumah terbuka adalah tradisi rakyat di negara kita bagi memeriahkan perayaan yang disambut setiap tahun seperti Hari Raya ini.

“Saya berharap dengan adanya kebenaran sambutan majlis rumah terbuka ini dapat merapatkan kembali silaturrahim antara kita semua,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|