PAS kekal bersama GRS – Aliakbar

Kota Kinabalu: PAS Sabah masih beranggapan sebagai sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun parti itu tidak berada dalam gabungan berkenaan selepas ia didaftarkan secara rasmi pada Mac lalu.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata kedudukan itu berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama GRS pada Januari tahun lalu.

Katanya, MoU itu dijadikan sebagai pegangan dalam kerjasama PAS Sabah dengan gabungan berkenaan sehingga ke hari ini, selain menyatakan akan terus menyokong kerajaan GRS – Barisan Nasional (BN).

“Kita masih berada di dalam GRS, kita masih berpegang kepada MoU yang kita tandatangani pada 2021, kita tidak ada lagi sebarang perubahan daripada persefahaman yang sudah ditandatangani bersama.

“Jadi kita masih memegang pada memorandum yang disebut tadi itu dan kita masih kerajaan serta terus menyokong GRS yang ada sekarang ini,” katanya ketika ditemui media pada Program Ziarah Sekolah Sempena Hari Guru 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan PAS dalam GRS selepas gabungan itu secara rasminya dibentuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN kekal sebagai rakan sekutu GRS.

Terbaharu, GRS turut menerima Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (BERSATU) sebagai anggota komponen baharunya.

Mengulas lanjut, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, walaupun belum ada pertemuan rasmi dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS namun PAS Sabah meletakkan MoU itu sebagai asas dalam kerjasama dengan gabungan terbabit.

“Saya meletakkan memorandum itu adalah satu yang lebih kuat berbanding pendaftaran ini. Kita tidak ada berbincang secara bersama jadi itu mungkin di luar daripada pengetahuan kami yang pada saya, kita tidak mengambil berat mengenai isu itu.

“Setakat ini, status itu (dalam GRS) saya nak kata ya atau tidak, itu masih belum boleh lagi sebab belum ada perbincangan rasmi,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas lanjut hubungan kerjasama PAS di peringkat nasional dengan UMNO, beliau menolak dakwaan bahawa kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) sudah berakhir.

“Kita masih akan cuba mengekalkan sedaya upaya bersama Perikatan Nasional (PN) dan kekal bersama MN. Jadi saya juga sebagai pimpinan Majlis Tertinggi PAS Pusat melihat itu sebagai suatu kriteria yang terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), jadi kita kekalkan PN dan perkukuhkan MN.

“MN tidak mati, masih lagi kekal dan kita berprinsip seperti mana PAS Pusat putuskan yang terkini kita akan terus mencari jalan untuk bekerjasama dengan MN dan terus berbincang untuk perbaiki mana yang kurang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|