JKR bina jalan lencongan sementara Kiulu-Ranau

Tuaran: Kerja pembinaan laluan lencongan di Kilometer 19.2 Jalan Kiulu – Ranau yang ditutup akibat jalan runtuh akan dilaksanakan mulai esok.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina laluan lencongan itu bagi memulihkan pergerakan lalu lintas.

Joniston meninjau jalan runtuh di Kilometer 19.2 Jalan Kiulu – Ranau.

“Pihak JKR akan membina satu laluan lencongan sementara untuk semua jenis kenderaan dan kerja-kerja itu dijangka mengambil masa beberapa hari untuk siap. Kerja penyelesaian jangka panjang juga sedang giat dirancang,” katanya ketika melawat lokasi jalan runtuh itu, hari ini.

Dalam tinjauan berkenaan, beliau diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid, mengenai kerja-kerja pembaikan. Turut hadir Jurutera JKR Tuaran, Farini Awang.

Joniston diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JkR) negeri, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata pihaknya mengambil langkah segera melaporkan kejadian jalan runtuh itu kepada Pengarah JKR dan jurutera daerah sebaik sahaja menerima maklumat mengenainya.

“Kita mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak JKR menutup segera jalan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ali Ahmad berkata, sebagai alternatif, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Tamparuli-Ranau dan Jalan Pahu-Sinulihan tidak berturap untuk sementara waktu sehingga laluan lencongan siap dibina.

Pada 13 Mei lalu, tanah runtuh kecil dilaporkan berlaku di tebing Jalan Pukak-Pahu-Nulu akibat hujan yang berterusan.

Kejadian itu menyebabkan satu arah laluan ditutup bagi tujuan keselamatan, sebelum satu lagi tanah runtuh dilaporkan berlaku di lokasi yang sama, semalam menyebabkan pihak JKR menutup kedua-dua arah laluan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|