Tawau: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak beberapa hari lalu akhirnya terjawab berikutan penemuan mayat di bawah jambatan dalam kejadian di sebuah kilang kayu di Logpond, di sini, hari ini.
Mangsa ditemui oleh pasukan polis kira-kira jam 12 tengah hari tadi sebelum memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu mengeluarkan mangsa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah hari.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati benar terdapat mangsa iaitu seorang lelaki berada di bawah jambatan kilang berkenaan.
“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.33 tengah hari,” katanya.
-Deasoka