KM arah PKOB salur maklumat tepat berkaitan bencana alam

KM arah PKOB salur maklumat tepat berkaitan bencana alam

Pitas: Semua jawatankuasa pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang dilanda banjir diarah supaya menyalurkan maklumat tepat berkaitan kesan bencana itu di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, maklumat telus dan adil termasuk berkaitan jumlah mangsa terlibat, kerosakan harta benda dan infrastruktur asas amat penting bagi memastikan pengurusan pasca banjir lebih efisien terutama dalam aspek penyaluran bantuan kerajaan.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sambil disaksikan Shahelmey di Pitas.

Katanya, setiap laporan itu kelak membolehkan jabatan dan agensi berkaitan dapat menyemak sekali gus menilai kerosakan mahupun kerugian bagi tujuan membaik pulih mengikut keutamaan serta keperluan penduduk.

“Kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan akan sentiasa bekerjasama rapat dalam membantu rakyat terlibat banjir di negeri ini menerusi beberapa peruntukan khas disediakan bagi meringankan beban ditanggung mereka.

“Untuk itu, kita memerlukan maklumat tepat dan adil mengenai situasi banjir ketika ini dan pengerusi PKOB meneliti (setiap peruntukan bantuan banjir disediakan kerajaan) supaya bantuan boleh disalurkan kepada penduduk terlibat (mengikut keutamaan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul mengenai situasi semasa bencana banjir di daerah ini, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Sebelum itu, Hajiji memaklumkan terdapat beberapa peruntukan turut disediakan kerajaan persekutuan bagi membantu mangsa banjir termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000; RM5,000 bagi membaiki kerosakan rumah, selain bantuan kewangan lain merangkumi pembelian barang keperluan asas serta membaiki kerosakan kenderaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|