Keputusan Peter tubuh parti baharu mesra GRS perkembangan baik dalam politik Sabah – Hajiji

Keputusan Peter tubuh parti baharu mesra GRS perkembangan baik dalam politik Sabah – Hajiji

Kota Marudu: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony menubuhkan parti baharu mesra kerajaan sebagai satu perkembangan yang baik dalam politik Sabah.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, keputusan itu juga dilihat akan menguatkan lagi kerajaan Sabah di bawah kepemimpinan GRS.

“Itu dia punya (keputusan), kita mengamalkan demokrasi. Beliau telah membuat keputusan mahu menubuhkan parti baharu dan akan mesra dengan GRS.

“Bagi saya sebagai Ketua Kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri. Jadi kita berterima kasihlah,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan banjir di Pentas Utama Padang Kota Marudu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap yang mengumumkan akan menubuhkan parti baharu selepas keluar daripada WARISAN baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada Peter ada menghubunginya secara peribadi, Hajiji berkata, setakat ini belum ada sebarang pertemuan lagi.

“Belum lagi (berhubung dengan Peter),” jawabnya ringkas.

Peter pada 28 Disember lalu mengumumkan keluar parti bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan akan menubuhkan parti baharu berasaskan Kadazandusun dan Murut (KDM).

Katanya, parti baharu itu yang akan dirasmikan awal bulan ini adalah mesra GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|