Frenerietta, Joanna buat laporan polis kenyataan hina Unduk Ngadau, Kaamatan

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Unduk Ngadau peringkat Negeri Sabah, hari ini, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial facebook yang menghina dan memperlekehkan peserta pertandingan berkenaan dan Pesta Kaamatan.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Joanna Kitingan berkata, kenyataan yang dibuat seorang lelaki amat menyinggung perasaan kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Malah katanya, kenyataan yang dikeluarkan berkenaan juga berbaur lucah sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Kenyataan itu juga menghina ‘Huminodun’. Secara tradisinya dipercayai sebagai dewi yang mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan rakyatnya daripada kebuluran.

“Ia adalah kenyataan yang sangat menghina dan kita tidak boleh ambil mudah kerana kenyataan itu menjatuhkan maruah dan budaya warga KDMR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Turut hadir sama membuat laporan polis, ratu Unduk Ngadau, Frenerietta Sobitun.

Joanna berkata, laporan polis berkenaan dikeluarkan untuk meminta siasatan dijalankan terhadap individu terbabit.

Selain itu katanya, pihaknya juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk meneliti kes berkenaan.

“Laporan polis ini dibuat sebagai peringatan kepada mana-mana pihak atau individu di Sabah agar tidak menghina mana-mana kaum atau adat yang wujud secara harmoni sejak ratusan tahun lalu.

“Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. Kita juga akan berbincang tindakan seterusnya dengan peguam,” katanya.

Sementara itu, ratu Unduk Ngadau tahun ini, Frenerietta berkata, dia berharap mereka yang menghina budaya dan adat KDMR dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, seorang lelaki mengeluarkan satu kenyataan di media sosial yang menghina dan memperlekehkan pertandingan Unduk Ngadau dan Pesta Kaamatan sehingga tular.

Kenyataan berkenaan menerima pelbagai kecaman dan meminta supaya tindakan segera diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|