Maritim Malaysia tahan bot tunda, tongkang kerana beroperasi di luar kawasan dibenarkan

Labuan: Sebuah bot tunda dan tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan kerana beroperasi di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Labuan, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, ketika rondaan rutin, pasukan operasi mengesan sebuah bot tunda dan tongkang di kedudukan 1.2 batu nautika dari pulau berkenaan, pada 12.45 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan tongkang itu dikendalikan oleh empat kru warga tempatan termasuk nakhoda yang berusia dalam lingkungan 28 hingga 53 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumentasi vessel terbabit mendapati bot tunda terbabit disyaki melakukan kesalahan kerana berlayar melebihi had pelayaran seperti yang tertulis di dalam lesen.

“Kawasan operasi yang dibenarkan adalah di kawasan perairan Kudat, Sabah sahaja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot tunda, tongkang nakhoda kapal bersama semua kru ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO).

“Komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada
terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|