Kota Kinabalu: Sebanyak RM54.5 juta dana untuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) berjaya dikumpul setakat ini sebagai permulaan bagi memberi bantuan kepada anak Sabah yang ingin melanjutkan pengajian.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, TPNS adalah satu inisiatif kerajaan negeri dalam pembangunan modal insan yang bertujuan untuk membantu anak-anak Sabah terutama daripada golongan B40.
Katanya, anak-anak Sabah yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian boleh mendapatkan bantuan menerusi TPNS sebagai sebahagian daripada inisiatif hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Ini adalah tabung pendidikan untuk anak Sabah daripada golongan B40 dan ia berbeza dengan biasiswa kerajaan negeri atau pinjaman Yayasan Sabah.
“Fungsinya berlainan tetapi tujuannya sama untuk memberi bantuan kepada anak-anak Sabah yang datang daripada keluarga miskin tetapi mereka mendapat keputusan peperiksaan yang baik, kita bagi mereka peluang,” katanya selepas melancarkan TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Hajiji berkata, pemberian bantuan itu akan bermula pada tahun ini kepada pelajar yang berminat untuk mendapatkan dana untuk melanjutkan pengajian.
“Mereka mesti memohon, kalau tidak kita tidak tahu mereka berminat atau tidak untuk masuk ke institut pengajian tinggi atau universiti.
“Keutamaan penajaan juga adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang,” katanya.
Hajiji dalam pada itu menyeru semua pihak termasuk syarikat besar yang beroperasi dan meraih keuntungan di Sabah agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS mengumpul dana yang diperlukan.
“Selain dana yang diberi secara terus kepada kerajaan negeri, kita juga minta daripada Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta untuk membantu dan jika mereka bantu, mereka boleh dikecualikan daripada membayar cukai,” katanya.
-Deasoka