Industri tenusu Sabah kini diambang ‘senja’ – Yap Yun Fook

Industri tenusu Sabah kini diambang ‘senja’ – Yap Yun Fook

Putatan: Industri tenusu di Sabah kini berdepan tempoh sukar berikutan kekurangan pengeluaran susu segar dari ladang selain peningkatan kos operasi hingga disifatkan berada di ambang ‘senja’.

Dakwaan itu disuarakan Pengerusi Persatuan Penternak Tenusu Sabah, Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook ketika meluahkan harapannya agar tindakan segera diambil kerajaan untuk mengatasi masalah dalam industri itu.

Beliau mendakwa ramai penternak tenusu kecil-kecilan menghentikan operasi disebabkan kos penternakan yang tinggi mengakibatkan pengeluaran susu segar untuk memenuhi permintaan tempatan turut merosot.

“Industri tenusu sudah menjadi ‘sunset’ (senja). Saya menjadi Pengerusi Persatuan Penternak Tenusu sejak 2000, dulu ada beratus penternak tapi sekarang tinggal tidak sampai 30 penternak tenusu.

“Sebabnya kos penternakan kini meningkat 100 peratus,” katanya pada sidang media di kilang pengeluaran susu segar Eco-Yap di Yun Fook Resources Sdn Bhd, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran susu segar dari ladang menyebabkan kilangnya yang mempunyai kapasiti untuk memproses sehingga 100 tan susu sehari, kini hanya mampu memproses 20 tan susu.

Katanya, masalah itu tidak timbul jika kerajaan melaksanakan polisi penternakan tenusu yang betul dengan menumpukan kepada pemain utama industri bagi meningkatkan pengeluaran.

Jelasnya, tumpuan kepada penternak kecil-kecilan tidak dapat membantu dalam usaha mengembangkan industri tenusu memandangkan kadar pengeluaran yang kecil selain kebanyakannya tidak mampu bertahan disebabkan peningkatan kos.

“Penternakan lembu tenusu memerlukan penggunaan jentera dan mesin yang banyak bagi mengurangkan kos operasi ladang.

“Jika penternak kecil-kecilan, mereka terpaksa menggunakan tenaga manusia sepenuhnya untuk mengurus ternakan termasuk memotong rumput jadi ia memerlukan kos yang besar dan menghalang mereka untuk menambah jumlah ternakan,” katanya.

Katanya, penternak yang tidak mampu bertahan terpaksa gulung tikar sekali gus menyebabkan industri tenusu berdepan masalah kekurangan susu segar dari ladang.

Keadaan itu, katanya memaksa kerajaan terus berbelanja besar untuk mengimport susu dari luar negara bagi memenuhi permintaan yang tinggi di negara ini.

“Sekarang, apa yang perlu dilaksanakan ialah kerajaan mesti mengubah dasar sedia ada dengan memberi tumpuan kepada pemain industri yang besar untuk menambah kapasiti pengeluaran.

“Kota boleh membangunkan industri tenusu tempatan hingga tidak perlu beli susu dari luar negara termasuk susu tepung jika dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Yun Fook berkata, beliau sentiasa komited membantu industri tenusu berdasarkan pengalamannya selama lebih 40 tahun dalam industri berkenaan.

Beliau bermula dengan menternak hanya dua lembu tenusu pada 1982 sebelum secara berperingkat membesarkan penternakannya hingga mencapai tahap industri dengan memiliki 5,000 ekor lembu tenusu di ladang seluas 150 hektar di Keningau ketika ini.

Susu segar dari ladangnya diproses sendiri di kilang miliknya di sini sebelum dijual di pasaran tempatan di negeri ini dan Semenanjung.

Bagaimanapun, katanya pengeluaran di peringkat ladang perlu ditingkatkan dengan bantuan kerajaan bagi membantu industri tenusu terus berkembamg hingga ke tahap negara tidak perlu lagi mengimport produk tenusu luar negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|