Murid sekolah masih trauma jatuh jambatan

Murid sekolah masih trauma jatuh jambatan

Paitan: Murid perempuan yang terjatuh ketika melalui jambatan usang di Kampung Maidan, di sini, baru-baru ini masih trauma akibat kejadian itu.

Nurul Izah Farzana Asmadi, 9, berkata sebelum kejadian dia sedang dalam perjalanan ke sekolah dengan dihantar oleh ibunya.

Mangsa jambatan runtuh di Kampung Maidan, Paitan, Nurul Izah Farzana Asmadi.

Katanya, sebaik melalui jambatan berkenaan, ia tiba-tiba runtuh menyebabkannya terjatuh ke lumpur.

“Pagi itu saya pergi sekolah macam biasa, mama yang kasi teman saya. Saya jalan di depan, mama di belakang sebelum tiba-tiba jambatan itu runtuh dan saya terjatuh..

“Dari situ saya takut lalu di jambatan kecuali ia sudah dibina semula yang lagi bagus.

“Harapan saya agar jambatan itu dibina baharu dan bukan kayu, kalau boleh simen konkritlah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nurul berkata, selepas terjatuh, dia terus menangis kerana ketakutan dan sampai sekarang masih trauma serta takut meniti jambatan.

Sementara itu, ibunya, Zazizah Kasim, 30, berkata, dia melihat anaknya terjatuh sebelum segera menarik tangannya.

Katanya, Nurul menangis namun dia mahu terus menghantar anaknya itu ke sekolah kerana tiada kecederaan serius, kecuali ada kesan kotor pada bajunya akibatbterkena lumpur.

“Saya masih menghantar anak ke sekolah sebab nampak tiada kecederaan serius juga, cuma hampir terkena paku.

“Saya minta tolong kepada anak buah saya menghantar menggunakan kenderaan ikut jalan darat cuma jauh sikit dalam satu jam lebih baru sampai,” katanya.

Katanya, selepas membersihkan pakaian yang kotor dan memujuk Nurul, beliau kemudian meminta bantuan ahli keluarga membantu menghantar anaknya itu ke sekolah menggunakan motosikal.

Beliau berkata, jambatan berkenaan sudah tidak boleh digunakan beberapa hari akibat kejadian itu dan berharap dapat digantikan.

Bagaimanapun, semalam kerja pembaikan sudah dijalankan secara gotong royong dan laluan jambatan yang runtuh kini sudah boleh dilalui semula.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|