Penagih cuba seludup minyak masak bersubsidi

Penagih cuba seludup minyak masak bersubsidi

Semporna: Cubaan dua penagih dadah menyeludup keluar minyak masak bersubsidi gagal selepas berjaya dipatahkan polis dalam operasi di kawasan perairan Pulau Omadal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai warga asing terbabit turut berjaya ditahan.

Polis turut merampas wang tunai sejumlah RM30,000 dan wang Filipina sebanyak Peso 2,000.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua suspek ditahan menerusi Ops Tapis yang dijalankan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Semporna.

Katanya, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan serta disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan, pasukan operasi terus mengejar dan memintas bot pam berkenaan.

Bot bersama enjin yang dirampas.

“Pasukan polis bertindak mengejar dan memintas bot berkenaan bagi melakukan pemeriksaan terhadap muatan yang dibawanya.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek bertindak nekad terjun ke laut untuk melarikan diri, sebelum berjaya ditahan semula,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, pemeriksaan turut mendapati kedua-dua suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemukan sebanyak 255 paket minyak masak bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai sebanyak RM30,000 dan wang Filipina sebanyak Peso 2,000 di dalam sebuah beg.

“Hasil saringan awal ujian air kencing kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Farhan berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM45,000 terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.

“Bot dan rampasan minyak masak turut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|