Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sentiasa bersedia dalam memantau bekalan elektrik ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir Idris Mohd Noor berkata, pemantauan 24 jam itu dilaksanakan selepas angin kencang serta hujan lebat melanda beberapa kawasan di pantai barat dan pedalaman Sabah, sejak Jumaat lalu.
Katanya, keadaan cuaca buruk berkenaan turut menyebabkan kejadian tiang dan pokok tumbang, hakisan tanah serta banjir kilat di beberapa kawasan.
“Kejadian hujan lebat dan angin kencang ini turut mengakibatkan banyak pepasangan SESB mengalami kerosakan teruk.
“Ia menyebabkan berlakunya gangguan bekalan elektrik kepada pengguna di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sehubungan itu, Idris berkata, pasukan teknikal dengan bantuan kontraktor SESB yang dilantik sudah diarahkan melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan.
Katanya, anggota kerja teknikal SESB yang sedang bercuti menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha turut diarahkan membantu.
“Ia bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan elektrik di kawasan terlibat,” katanya.
-Deasoka