Hubungan harmoni, kerjasama pelbagai kaum kunci kejayaan negara – Jamawi

Hubungan harmoni, kerjasama pelbagai kaum kunci kejayaan negara – Jamawi

Tenom: Hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum menjadi kunci atau senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran supaya negara dapat mencapai matlamatnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, berkata secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing tetapi ia perlu ditangani secara bijak dan berhemah.

Jamawi menyampaikan limau mandrin kepada ahli Gabungan Persatuan Komuniti Cina Daerah Tenom sempena Tahun Baharu Cina.

“Di kebanyakan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkaitan isu agama, membawa peperangan yang berlarutan, sekali gus membantutkan pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata ketika demikian selepas menghadiri jamuan makan tengh hari bersama Gabungan Persatuan Komuniti Cina Daerah Tenom dan Ketua-Ketua Masyarakat Cina Tenom dan Kemabong, di sini, semalam.

Jamawi yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC), berkata perpaduan kaum adalah elemen penting yangharus diberi perhatian bagi memastikan hubungan antara etnik dan masyarakat terus kukuh selain menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.

“Peristiwa 13 Mei 1969 banyak mengubah kehidupan rakyat negara ini. Walaupun sesetengah pihak menganggap ia satu titik hitam dalam sejarah, namun dari sudut lain peristiwa itu satu pengajaran yang amat besar kepada negara untuk diambil iktibar,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi menambah, politik sepatutnya menyatukan sebagaimana yang menjadi amalan dan Budaya Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Pemimpin politik tidak kira agama dan bangsa perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk kebersamaan ialah hak bersama, bukan melaga-laga serta mendorong perbezaan yang memecah belahkan,” katanya.

Beliau berkata, citra Malaysia selari dengan gagasan Keluarga Malaysia jelas menunjukkan negara ini memiliki kepelbagaian yang perlu diraikan berdasarkan Rukun Negara yang dipersetujui bersama.

“Malaysia Baharu sepatutnya membina teladan mengukuhkan aspirasi perlembagaan kita, bukan mengadaptasi liberalisasi mahupun ekstremis untuk kepentingan sesetengah pihak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|