De Souza, Neto, Kagayama pelengkap kuota import Sabah FC musim 2022

De Souza, Neto, Kagayama pelengkap kuota import Sabah FC musim 2022

Kota Kinabalu: Sabah FC sudah selesai mengikat kontrak baki tiga pemain import baharu yang akan memperkuat skuad Sang Badak dalam aksi Liga Malaysia musim ini.

Dua daripadanya pemain dari Brazil, Jackson de Souza, 31 dan Altemir Cordeiro Pessoa Neto, 27, manakala seorang lagi, Taiki Kagayama, 25 dari Jepun.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata ketiga-tiga pemain import berkenaan menandatangani kontrak beberapa minggu lalu dan kini sedang menjalani kuarantin di Kuala Lumpur.

Katanya, mereka dijangka akan memulakan latihan bersama pasukan Sabah FC pada pertengahan minggu depan selepas cuti Tahun Baharu Cina.

“Mereka dipilih mengikut apa yang saya rasa sesuai untuk pasukan kita dan corak permainan yang saya terapkan. Paling penting kita berbelanja mengikut kapasiti yang kita mampu.

“Saya percaya mereka mampu beraksi dengan baik namun mereka tentunya memerlukan masa untuk mengadaptasi dengan banyak perkara.

“Mereka juga harus mendapatkan keserasian terlebih dahulu di samping menilai kecergasan mereka sebelum dapat diturunkan sepenuhnya,” katanya ketika mengulas mengenai pemain import baharu terbabit.

Ketiga-tiga pemain masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri dalam permainan bola sepak sama ada di negara sendiri atau kelab luar.

De Souza mula bermain secara profesional untuk pasukan Sao Paulo, Brazil bermula pada 2008 hingga 2010 selain beberapa kelab lain di Amerika Selatan hingga tahun lalu dengan kelab terakhir yang diwakilinya Fortaleza Esporte Clube di Brazil.

Sepanjang karier bola sepaknya, De Souza yang bermain di bahagian pertahanan tengah membuat sebanyak 205 kemunculan bersama kelab yang diwakilinya dan berjaya menjaringkan sebanyak 11 gol.

Bagi Neto pula, aksi profesionalnya bermula bersama kelab Placidi De Castro, Brazil pada 2013 dan pernah menyertai sembilan kelab lain di Amerika Selatan dengan yang terakhir bersama Clube do Remo dalam Liga Brazil.

Penyerang berketinggian 183 sentimeter itu setakat ini melakukan 158 penampilan dengan kejayaan menyumbatkan 50 gol.

Sementara itu, Kagayama sebelum ini pernah beraksi di Eropah iaitu dalam Liga Finland bersama tiga kelab bermula pada 2019 hingga 2021 dengan yang terakhir bersama kelab FC Inter Turku.

Sepanjang kariernya bersama kelab sebelum ini, penyerang tengah itu melakukan 67 penampilan dengan berjaya menjaringkan sebanyak 15 gol.

Secara keseluruhan, Sabah FC memiliki lima pemain import termasuk Park Taesu dari Korea Selatan yang mengisi kuota Asia dan Saddil Ramdani dari Indonesia yang mengisi kuota Asia Tenggara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|