Hubungan dua hala Malaysia – Tarakan terus diperkukuhkan

Hubungan dua hala Malaysia – Tarakan terus diperkukuhkan

Tarakan (Kalimantan Utara): Hubungan dua hala di antara Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan Utara, Indonesia akan terus diperkukuhkan menerusi pembabitan kedua-dua pihak dalam meneroka potensi kerjasama di wilayah ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata banyak potensi perniagaan dan pelaburan boleh diteroka di Kalimantan Utara atau singkatannya, KALTARA selaku provinsi termuda di Indonesia.

“Ada banyak peluang yang boleh dimanfaatkan di sini terutama KALTARA ini adalah provinsi yang termuda di Indonesia,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Gabenor Kalimantan Utara, Dr H Zainal Arifin Paliwang, di sini, semalam.

Maximus mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, dalam lawatan kerja ke Kalimantan.

Ketika kunjungan hormat berkenaan, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai isu berkaitan hal antarabangsa dan hubungan dua hala, selain pelaburan dan perniagaan.

Selepas kunjungan hormat terhadap Gabenor KALTARA, Maximus bersama delegasinya diberi penerangan mengenai Inisiatif Segitiga Terumbu Karang oleh pensyarah Universitas Borneo Tarakan, Dr Rukisah Saleh.

Provinsi KALTARA, yang merangkumi keluasan 71,827 kilometer persegi diwujudkan sejak 25 Oktober 2012 selepas dipisahkan daripada provinsi Kalimantan Timur bagi mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|